Monday, March 12, 2012

Dirgahayu Tuanku: Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008 diagihkan ke seluruh sekolah

Dirgahayu Tuanku: Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008 diagihkan ke seluruh sekolah


Dua naskah buku ‘Dirgahayu Tuanku: Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008’ akan diagihkan kepada semua 165 sekolah di negeri ini bagi memperteguhkan rasa cinta rakyat terutamanya pelajar kepada Institusi Kesultanan Terengganu.
Bagi tujuan itu, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) menjalin kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dalam usaha mengagihkan buku sejarah berkenaan.


Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof, secara keseluruhan sebanyak 330 buku akan diagihkan kepada sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama di seluruh negeri.

“Alhamdulillah pihak YDSM amat berterima kasih kepada syarikat AHT & Carriage Sdn Bhd yang diterajui pengasasnya, Datuk Abdullah Taib kerana sudi menaja penyerahan buku ini (Sejarah Kesultanan Terengganu 1708 – 2008).

“Saya percaya buku ini wajar dan amat penting dibaca oleh orang ramai terutamanya pelajar kerana ia memaparkan sejarah (Kesultanan Terengganu) secara komprehensif dan sedikit sebanyak akan memupuk kecintaan terhadap institusi kesultanan yang memayungi negeri kita ini,” katanya.

Selain itu menurut Mohd Fadzli, selaku badan amal yang bertujuan memberi manfaat pengembangan dan kemajuan pelajaran anak Terengganu dalam usaha untuk melahirkan pelajar cemerlang merangkumi segenap aspek.

“Sememangnya menjadi peranan besar bagi kami untuk memberi dan menyediakan khidmat bakti kepada golongan masyarakat yang memerlukan seiring dengan usaha yang dilakukan pihak berkuasa dan pelbagai agensi lain,” katanya.

Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan menyempurnakan upacara pelancaran Program-program YDSM di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, di sini.

No comments:

Post a Comment