Monday, April 11, 2011

Formula 1 Grand Prix Malaysia Petronas 2011

Formula 1 Grand Prix Malaysia Petronas 2011

Sebastian Vettel, penyandang juara tahun 2010 sekali lagi mengesahkan pendapat bahawa beliau adalah genius dalam perlumbaan Formula 1 masa kini apabila memenangi F1 Grand Prix Malaysia Petronas 2011 yang berlangsung petang tadi. Pemandu pasukan Red Bull Racing itu berjaya menaiki podium di tempat pertama buat kali kedua setelah berjaya melakukannya di Melbourne, Australia dua minggu lepas. Tempat kedua dimenangi oleh Jenson Button dari pasukan McLaren Mercedes, manakala pendatang baru Lotus Renault GP tidak menghampakan peminat tempatan apabila menghadiahkan kemenangan di Sepang dengan kejayaan pemandunya Nick Heidfeld yang berjaya menaiki podium di tempat ketiga.



Namun seorang lagi pemandu Lotus Renault iaitu Vitaly Petrov gagal mengulangi pencapaian cemerlang di Melbourne tempoh hari apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-12 apabila terkeluar di pusingan ke-52 akibat terbabit dalam kemalangan. Namun kejayaan Nick Heidfel yang berjaya menaiki podium sudah cukup manis bagi pasukan Lotus Renault kerana berjaya membuktikan kemampuan jentera mereka, sekaligus menaikkan imej serta jenama Proton dan Group Lotus di mata dunia. Rakyat Malaysia turut merasa bangga akan kemampuan pasukan yang dimiliki oleh syarikat tempatan itu, apatah lagi kejayaan itu dikongsikan bersama di tempat sendiri.

Satu lagi pasukan yang mempunyai pertalian dengan Malaysia iaitu Team Lotus milik Tony Fernandes masih gagal menyerlah apabila pemandunya Heiki Kovalainen hanya berjaya meraih kedudukan di tempat ke-15 manakala seorang lagi pemandu mereka Jarno Trulli gagal menamatkan perlumbaan. Keghairahan Tony mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa mereka adalah pasukan yang membawa nama Malaysia sebenar akhirnya tidak mampu menghadiahkan kemenangan, sebaliknya dari segi moral pasukan Lotus Renault GP yang membawa imej Proton dan Group Lotus kian mendapat suntikan semangat serta sokongan padu peminat sukan permotoran tempatan.

Pasukan Mercedes GP Petronas juga masih gagal menyerlah di Litar Sepang namun pemandu mereka yang juga bekas juara dunia tujuh kali Michael Schumacher berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-9, manakala seorang lagi pemandu Nico Rosberg hanya berjaya berada di tempat ke-12. Untuk mengikuti keputusan penuh perlumbaan F1 di Litar Sepang, anda boleh klik di sini. Kedudukan kejuaraan pelumba (Driver’s Championship) kini menyaksikan Sebastian Vettel mengungguli dengan 50 mata diikuti Jenson Button 26 mata, Lewis Hamilton dan Mark Webber masing-masing 22 mata, diikuti Fernando Alonso dengan 20 mata dan Felipe Massa 16 mata. Nick Heidfeld dan Vitaly Petrov masing-masing memperolehi 15 mata.

Beralih kepada kedudukan pengeluar, Red Bull Racing kekal memimpin di tempat pertama apabila memperolehi 71 mata diikuti McLaren Mercedes dengan 48 mata, Ferrari dengan 36 mata dan Lotus Renault GP di tempat ke-4 dengan 30 mata. Pasukan lain yang juga berjaya mendapat mata ialah Sauber dengan 6 mata, Scuderia Toro Rosso dan Force India masing-masing mendapat 4 mata, manakala Mercedes GP Petronas berada di kedudukan ke-8 kategori pengeluar dengan 2 mata yang diperolehi. Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Shanghai, China pada 15-17 April 2011.

p/s : Syabas diucapkan kepada pasukan Lotus Renault GP kerana sekali lagi mengulangi pencapaian cemerlang apabila berjaya menaiki podium buat kali kedua. Kemenangan tersebut bukan saja berjaya menaikkan kembali imej dan jenama Lotus, malah memberikan imej positif yang sangat baik terhadap Proton dan juga Malaysia.

SERIBANDIONLINE Group

No comments:

Post a Comment