Monday, January 30, 2012

Terengganu : Pameran khazanah Islam dari China Februari ini

Terengganu : Pameran khazanah Islam dari China Februari ini


“Al-Quran bersadur emas dengan nilai USD53 juta dari Empayar Othmaniah, kurun ke 16-18, akan menjadi tarikan utama di Pameran Khazanah Islam dari Negara China di Galeri Mandalika, Muzium Negeri Terengganu bermula Februari 2012 ini.”


Kuala Lumpur, 3hb Januari 2012 – Muzium Negeri Terengganu dengan kerjasama Topchain Capital Sdn. Bhd. akan menganjurkan satu pameran antarabangsa iaitu “Khazanah Islam dari Negara China” bermula Februari hingga Julai 2012, bertempat di Galeri Mandalika, Muzium Negeri Terengganu.

Diantara artifak-artifak yang dijangka menjadi tarikan utama di Galeri Mandalika ini ialah, ”Al-Quran Bersadur Emas (Gold Tooling Al-Quran)” yang berusia lebih 500 tahun dari Dinasti Ming. Sejarah pembuatan “Al-Quran Bersadur Emas” ini bermula dari Kerajaan Othmaniah yang menggunakan Skrip Naskhi. “Al-Quran Bersadur Emas” ini juga dipercayai dibawa ke Timur Turkestan (Xinjiang-China) oleh seorang guru agama berbangsa Arab ketika Dinasti Ming. Kemudiannya, “Al-Quran Bersadur Emas” ini telah dibawa ke Uighur Turks (Timur Turkestan) ke Yunan-China. Artifak “Al-Quran Bersadur Emas” dianggarkan bernilai lebih dari USD53 juta (RM170 juta) oleh pakar-pakar artifak purba antarabangsa.



Pameran yang bertemakan “Khazanah Islam Dari Negara China” ini akan merangkumi artifak-artifak bermotifkan kesenian Islam dari pelbagai dinasti-dinasti China terutamanya dari Dinasti Ming, yang mempunyai pengaruh yang kuat hasil dari kedatangan mubaligh-mubaligh dari Timur Tengah pada ketika itu. Artifak-artifak kesenian Islam yang dijangka menjadi tarikan bagi pengunjung-pengunjung di pameran tersebut termasuklah yang diperbuat daripada emas, perak, gangsa, porselin, jed, batu dan lain-lain lagi.

Selain daripada artifak-artifak bercirikan Islam, pihak Muzium juga dengan kerjasama Topchain Sdn. Bhd. juga akan mempamerkan artifak dari dinasti-dinasti lain yang mempunyai ciri dan juga motif yang berbeza. Bahan-bahan informatif berkaitan dengan artifak dan sejarah “Khazanah Islam dari Negara China” akan juga dipamerkan untuk pengetahuan para pengunjung Muzium.

Muzium Negeri Terengganu amat berbangga kerana dapat menghoskan satu pameran yang bertaraf antarabangsa dan dunia dengan mempamerkan artifak-artifak autentik yang tidak ternilai harganya dan sangat-sangat jarang di temui.

Pameran ini akan memberi manfaat kepada pengunjung-pengunjung dengan informasi dan artifak-artifak yang bakal dipamerkan, khasnya kepada rakyat di negeri Terengganu dan Malaysia, amnya.

Aktiviti-aktiviti sampingan untuk pelajar-pelajar sekolah dan dewasa juga akan dilansungkankan semasa pameran, sebagai menjadi tarikan lebih ramai pengunjung ke pameran “Khazanah Islam dari Negara China.” Aktiviti-aktiviti ini akan diwawarkan dari masa ke semasa di perkarangan kawasan muzium.

Bayaran minima sebanyak RM10.00 untuk seorang dewasa dan RM5.00 untuk kanak-kanak (6-12 Tahun), dan pakej keluarga RM25.00 untuk sekeluarga 2 dewasa dan 2 kanak-kanak dikenakan untuk setiap pengunjung.

Waktu pameran dibuka ialah:

Pada hari Sabtu - Khamis bermula jam 9.00 pagi - 5.00 petang
Pada hari Jumaat bermula jam 9.00 pagi - 12.00 tengahari dan 3.00 petang - 5.00 petang


Mengenai Topchain Capital Sdn. Bhd.

Topchain Capital Sdn. Bhd. merupakan syarikat Malaysia yang berpengkalan di Johor Baharu dan beroperasi di Kuala Lumpur. Syarikat ini mempunyai kepakaran dan pengalaman di dalam pengurusan artifak bersejarah dari Negara China. Topchain Capital Sdn. Bhd. kini memiliki hak mutlak yang diamanahkan untuk menguruskan artifak-artifak bersejarah bernilai ratusan juta ringgit dari seluruh Negara China.

Topchain Capital Sdn. Bhd. memiliki lebih 8,000 artifak dari Dinasti-Dinasti China yang berusia sehingga 4000 tahun termasuk artifak Islam China berusia hampir 1,400 tahun. Syarikat ini juga ketika ini telah mengadakan satu pameran di Negeri Melaka bertempat di Bastion House, Bandar Melaka.

Jika ada sebarang soalan atau pertanyaaan sila hubungi:

Wan Farahaida binti Wan Idrus

(018-3829500)

Pengarah Urusan

Islamic Treasures from China Exhibition 2012

Terengganu


Encik Mohd Saberi bin Muda

(019-9630015)

Pegawai Perhubungan & Pemasaran


sumber : muzium negeri terengganu.

No comments:

Post a Comment