Sunday, January 29, 2012

Sedap Atau Sihat : Anda boleh pilih yang mana satu


Oleh : Khairani Abdul Aziz

Mahasiswi UKM

Gaya hidup rakyat Malaysia kini telah menjejaskan gaya pemakanan mereka. Bilangan wanita bekerjaya pula semakin meningkat menyebabkan semakin kurang makanan yang dimasak sendiri disediakan di rumah. Oleh itu, ramai yang memilih membeli makanan segera kerana cepat dan mudah disediakan. Namun, adakah ini menunjukkan gaya pemakanan tersebut sihat untuk kesihatan kita?

Kebanyakan masyarakat kini memilih makanan yang sedap sahaja tanpa menghiraukan risiko kesihatan mereka akan terjejas. Ini jelas menunjukkan kewujudan restoran makanan segera seperti KFC, Pizza Hut, McDonald dan sebagainya yang tumbuh melata bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Makanan yang sedap tidak semestinya sihat.


Hal ini kerana kebanyakan makanan yang sedap mengandungi penambah perasa dan bahan pengawet. Kandungan Monosodium Glutamat (MSG) amat berbahaya untuk kesihatan kita. Golongan yang menggunakan monosodium glutamate atau MSG sebagai penambah perisa dalam makanan mereka lebih berisiko tinggi berdepan masalah berat badan berlebihan atau obes berbanding mereka yang tidak mengambilnya walaupun melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan kalori sama. Kenapa dengan makanan segera?

Adakah semua makanan segera itu tidak sihat walaupun sedap? Ramai yang berpendapat sumber utama makanan tidak sihat ialah makanan segera. Tabiat makan makanan segera ini telah bermula sejak daripada kecil di mana ibu bapa tidak memberi mesej yang betul kepada anak-anak bahawa makanan segera ini boleh membahayakan kesihatan. Tambahan pula, pengaruh iklan terhadap kanak-kanak sangatlah hebat. Namun, jika ibu bapa tidak membenarkan anaknya membeli makanan segera itu, maka tabiat ini boleh dibentuk supaya menjauhi makanan yang tidak sihat. Apabila mereka sudah mendapat penyakit, barulah hendak menyesal. Bak kata orang "menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian hari tiada gunanya".

Makanan segera menggunakan bahan pengawet dalam kuantiti yang tinggi kerana ia diproses dan diawet untuk memastikannya tahan lama. Selain itu, kandungan lemak dalam makanan segera juga lebih tinggi berbanding bahan mentah biasa. Memakan makanan segera dalam kuantiti tidak terkawal akan mendedahkan kita kepada pelbagai jenis risiko seperti kerosakan gigi, sembelit, tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, obesiti dan kenaikan tahap kolesterol. Kegemukan adalah hasil pertama daripada amalan pemakanan tidak sihat yang menjadi pencetus kepada pelbagai masalah kesihatan lain kerana mengandungi banyak toksik.

Kira-kira 90 peratus masalah kesihatan berpunca daripada makanan yang mengakibatkan sistem pertahanan badan menjadi lemah. Badan kita membabitkan kira-kira 60 trilion sel kecil termasuk sel darah, lemak, otot dan kulit. Pengumpulan toksik menyebabkan sel ‘demam' dan akhirnya berlaku pelbagai masalah kesihatan. Antara sumber bahan toksik ini ialah makanan berasid, terlalu banyak mengambil ubat moden, terlalu banyak lemak kolesterol.

Makanan berasid adalah seperti bijirin (beras perang, beras putih, gandum, oat, daging, makanan laut, ayam, telur, sayur-sayuran dan buah-buahan awet, makanan dihasilkan daripada karbohidrat (roti, mi, biskut), makanan yang banyak menggunakan gula putih (ais krim, coklat, makanan dalam tin, sos), minuman contohnya susu diproses, dadih, kopi, minuman ringan dan berkarbonat, susu dan produk tenusu dan bahan masak (bawang merah dan putih, halia, minyak haiwan dan lada). Makanan yang dianggap beralkali pula adalah sayur-sayuran segar, buah-buahan segar, bijirin (milet), kekacang dan produk kekacang dan jus buah segar.

Namun begitu, ada yang berpendapat makanan tidak sihat juga berpunca daripada kesan perkembangan teknologi. Kemajuan teknologi menyebabkan pengusaha pertanian rakus menggunakan baja kimia dan ditambah lagi dengan penggunaan racun serangga pada tanaman mereka bagi mendapatkan hasil yang banyak dan tidak dirosakkan oleh ulat-ulat tumbuhan.

Oleh itu, jalan yang terbaik adalah dengan memilih makanan organik yang bebas daripada racun serangga. Kini, makanan organik juga semakin berkembang di seluruh dunia berbanding dengan makanan konvensional. Namun begitu, di Malaysia masih ramai orang tidak begitu mengetahui tentang makanan organik ini. Selain itu, teknologi nano dijangka banyak memberi manfaat meliputi bidang penanaman, penghasilan baja dan zat penggalak, sistem kawalan menggunakan teknologi nano, keselamatan makanan, sistem kawalan penyakit, kawalan alam sekitar dan lain-lain.

Terdapat banyak produk berasaskan teknologi nano yang berkaitan dengan pertanian dan industri asas tani sedang dibangunkan dan ada di antaranya telah memasuki pasaran. Tanaman yang dihasilkan menggunakan teknologi nano ini juga berkualiti tinggi dan bebas daripada racun. Sebaliknya, kebanyakan makanan sedap boleh menjadi makanan sihat jika kena caranya iaitu bermula daripada pemilihan bahan, penyediaan, kaedah memasak dan makan. Makanan harian sebenarnya boleh menjadi ubat atau pelindung daripada pelbagai penyakit. Seperti mana Bapa Pakar Perubatan Moden, Hippocrates pernah berkata ‘makanan sihat adalah ubat paling baik'. Untuk sihat, pemakanan kita harus mengandungi 80 peratus makanan bersifat alkali dan 20 peratus lagi makanan bersifat asid bagi meningkatkan daya ketahanan badan.

Komposisi makanan yang disarankan untuk kesihatan yang sempurna ialah 60 peratus sayur-sayuran, 20 peratus buah-buahan, 10 peratus sumber karbohidrat dan 10 peratus lagi protein (lebih baik jika protein tumbuh-tumbuhan. Terdapat enam panduan yang disarankan iaitu bertukar kepada jenis makanan yang menyihatkan buat perubahan secara perlahan-lahan satu persatu, fahami kesan detoksifikasi (penyingkiran toksik dari badan), laksanakan amalan pemakanan yang baru ini dengan yakin, mulakan bersenam dan kuatkan pegangan rohani (keagamaan).

Kita seharusnya belajar mengambil makanan daripada semua kumpulan makanan dan dalam sukatan yang betul. Jika hendak memastikan kesihatan kita terjamin dengan tidak mengehadkan jenis makanan sedap, kita diharuskan makan mengikut keperluan. Keperluan nutrien dan kalori setiap individu adalah berbeza mengikut umur dan paras aktiviti fizikal mereka. Misalnya, kanak-kanak membesar, remaja dan wanita memerlukan lebih banyak kalsium untuk membina tulang yang sihat. Kanak-kanak kecil, gadis dan wanita pada peringkat reproduktif, harus mengambil cukup makanan yang kaya zat besi. Di samping itu, kita disarankan makan pelbagai jenis makanan yang kaya nutrien. Badan kita memerlukan lebih daripada 40 nutrien yang berlainan untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan secara optimum. Seterusnya, kita boleh menggunakan inovasi dalam cara memasak. Makanan boleh dimasak dengan cara gril, panggang, bakar dan kukus. Gunakan perasa semula jadi seperti asam jawa, kicap, bawang putih, halia, bawang, cuka dan serai untuk melazatkan masakan. Perap makanan dengan rempah asli untuk rasa makanan yang lebih sedap dan harum.

Sebenarnya, makanan mempunyai dua ciri iaitu positif (menyihatkan badan dan memulihkan penyakit) atau negatif (menyebabkan penyakit). Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), didapati bahawa pembunuh utama manusia bukannya aids, malaria, kebuluran, kereta atau merokok, tetapi tabiat pemakanan manusia sendiri. Oleh itu, kita yang berkuasa membuat pilihan yang terbaik, jangan salahkan makanan.

Menjaga makanan saja tidak cukup kerana perubatan semula jadi memerlukan pendekatan menyeluruh atau holistik yang membabitkan pembersihan badan, ketenangan minda dan rohani. Sama ada membawa faedah atau padah, jangan salahkan makanan kerana kuasa memilih ada di tangan kita dan kita yang bertanggungjawab terhadap tahap kesihatan diri.

No comments:

Post a Comment